.Cari Di Sini
Barah ego dalam qiadah Islam
ASSALAMUALAIKUM.
yaya nak share satu entry ni dengan korang. yaya ambil dari blog haidaralkarar. yaya harap ianya dapatlah dijadikan panduan dan dapatlah kita muhasabah diri bersama. lagi pula, yaya sekarang tengah berdepan dengan 'MASALAH' yang yaya sendiri tak taw kat mana puncanya. entry ini agak panjang, tetapi yaya harap korang baca sampai habis ye. TQ :)
Ego, antara sifat Iblis dan kerana sifat 'Ana khairun minhu' itulah dia dilucutkan Allah SWT akan maqamnya daripada Azazil kepada sehina-hina maqam iaitu Iblis. Demikianlah yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah berkenaan dengan martabat Iblis tersebut. Sifat ego atau boleh dibahasakan sebagai takabbur ini labudda akan meresapi mana-mana dikalangan individu tanpa berkecuali apatah lagi menurut persepsinya dia mempunyai kelebihan berbanding dengan orang lain. Apabila sifat ini menguasai diri seseorang itu maka ianya pasti akan menyebabkan wujudnya masalah khususnya di dalam tanzim (organisasi) itu. Cuba semak adakah ada pada kita khususnya di kalangan mereka yang bergelar pimpinan dan ahli haraki akan ciri-ciri tersebut :
1. Bila jawapan yang diberi betul, dia akan rasa terhibur, senang hati dan bangga.
Jawapan yang betul itu adalah menurut pengetahuannya sendiri apatah lagi jika dia ditanya oleh individu-individu yang berpangkat besar atau ilmunya tinggi lalu dia dapat memberikan jawapan dengan baik. Apa sahaja yang dipersoalkan akan cuba dijawabnya biarpun pada hakikatnya dia itu jahil akan pengertiannya yang sebenar. Tiada padannya istilah 'Ana tak tahu', 'nanti ana rujuk balik', 'Wallahu'alam' dan segala jawapan yang padanya seolah-olah boleh menjatuhkan martabat keilmuannya. Adalah merupakan suatu jenayah yang besar di sisi Islam apabila seseorang itu berlagak tahu walhal dia tidak tahu lalu menyebabkannya mengeluarkan pandangan dan fatwa-fatwa yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan orang ramai dan pihak yang meminta pandangannya terjerumus ke arah perkara yang bathil.
2. Jika tidak dilantik memegang sesuatu jawatan, dia akan rasa kecewa dan resah
Sikap gilakan jawatan antara sikap yang buruk. Nabi pernah bersabda yang mafhumnya, “Kami tidak memberi jawatan kepada sesiapa yang memintanya”. Seseorang yang memegang jawatan bermakna dia telah memegang amanah dan ini merupakan adalah suatu perkara yang amat dipandang berat di sisi Islam. Seseorang yang EGO pastinya akan merasa ‘panas’ jika namanya tidak naik menjadi pimpinan walhal sebelum ini dia telah banyak ditaklifkan dengan pelbagai jawatan yang lebih besar daripada itu (etc : di sekolah atau persatuan luar). Dia menganggap seolah-olah kemampuannya tidak dihargai oleh mana-mana pihak sedangkan dia itu lebih baik daripada mereka.
3. Jika dia seorang ketua, dia selalu bersikap kasar ketika memberi arahan kepada orang lain.
Ketua seharusnya bersifat memimpin ahli yang berada dibawahnya. Ahli dibawah akan dipimpin dengan baik supaya matlamat sesebuah tanzim itu tidak tersasar dan segala gerak kerja dapatlah dilaksanakan dengan sempurna. Jika ahli bawahan ada melakukan kesalahan, maka seharusnya seorang ketua itu menegur dengan cara yang berhikmah. Namun apabila sifat EGO mengusai diri seorang pemimpin itu, baginya setiap gerak kerja perlulah dilaksanakan mengikut ‘KPI’nya. Arahan diberikan kepada ahli bawahannya dengan cara yang kasar apatah lagi jika ahli bawahannya itu lambat untuk mengerti sesuatu arahan tersebut. Baginya tiada istilah ‘LEMBAB’ dalam memahami dan melaksanakan tugasan (etc. “apasal lembab sangat dia ni buat kerja, nenek aku yang kat rumah pun boleh buat kerja laju daripada dia”). Sikap ini bahkan sehingga membawa kepada menzalimi orang lain dengan menggunakan kuasanya yang ada. Dia akan gunakan kuasa itu bukan sebagai amanah atau tanggungjawab tetapi sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain.
4. Jika dia orang bawahan, dia susah untuk taat kepada ketuanya dan bersikap degil.
Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya. Sifat tersebut wujud apatah lagi jika sebelum ini merupakan seorang yang hebat kononnya tempatnya sebelum ini. Dia merasakan dia itu lebih ‘senior’ dalam segala aspek samada dari sudut umur, pengalaman, dan ilmunya berbanding dengan ketuanya yang muda daripadanya dalam aspek tadi. Ulama’ haraki pernah menyebut, tiga golongan manusia yang payah untuk taat :
i. Orang yang banyak umurnya (lebih senior) ;
ii. Orang yang banyak pengalamannya ;
iii. Orang yang banyak ilmunya (pen. ilmu banya namun masih tidak faham fiqh waqi’ie).
Ketaatan hanya akan lahir daripada sifat thiqah sesama sendiri antara pimpinan dan ahli yang kedua-duanya memegang taklifan masing-masing dengan penuh ikhlas dalam semua keadaan walaupun dalam perkara yang tidak disukainya (pen. selagi mana tidak bercanggah dengan syara’).
5. Mudah marah bila dinasihati dan tidak mahu menerima dari orang atau pihak lain.
Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah. Teguran yang diberikan oleh pihak lain bukan sahaja tidak dapat diterima, malah diherdik orang memberi nasihat kepadanya (etc. “kau tu siapa nak beri nasihat kat aku!”). Bahkan bukan itu sahaja, dia akan mencari-cari kesalahan orang yang menegurnya dan dijadikan bahan umpatan supaya orang ramai lebih nampak akan kelemahan individu tersebut berbanding dengan dirinya.
6. Emosional dan mudah tersinggung
Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran. Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya. Islam adalah agama nasihat. Sesiapa sahaja selagi mana dia itu tidak maksum maka sudah pasti dia itu tidak terlepas dari serba kekurangan dan melakukan kesilapan. Demikianlah betapa pentingnya peranan wujudnya nasihat dan teguran daripada pihak lain kepada dirinya untuk kemaslahatan bersama. Seharusnya teguran itu diterima dengan hati yang ikhlas terbuka. Soal perkara itu benar atau tidak adalah perkara kedua. Ciri orang beriman itu sendiri adalah saling memberi peringatan dan teguran kepada orang lain tidak kiralah siapa atau apapun pangkatnya. Setiap peringatan itu memberikan manfaat yang besar kepada orang yang beriman dan jika ianya tidak dapat dijadikan manfaat sudah pastinya dia itu tidak tergolong dalam ciri orang yang beriman.
7. Suka dipuji
Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya (pen. ketagih pujian). Apatah lagi jika dia itu dipuji di khayalak ramai dan sudah pastinya dia dirinya itu dipandang tinggi oleh pihak lain. Para sahabat radhiallahu anhum dahulu jika dia dipuji oleh seseorang, maka dia akan membaling selipar atau batu kepada orang yang memujinya kerana bagi mereka ianya boleh menyebabkan amalan mereka ‘hangus’ dengan sifat riya’. Berlainan sekali dengan seseorang yang berikap EGO. Jika dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.
8. Sangat suka berbahas
Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan walaupun salah. Tujuannya juga untuk menunjukkan bahawa dia itu lebih hebat daripada pihak lain. Hujah pihak lain akan ditolak mentah-mentah dan bainya hujahnya sahajalah yang betul dan lebih baik biarpun hakikatnya hujahnya itu tidak relevan. Yang penting baginya sudah ada kepuasan dengan mewujudkan suasana ‘panas’ dalam perbahasan demi menunjukkan dia itu petah berbahas dan berhujah. Dan dia lebih menyukai jika pandangannya diterima berbanding dengan pandangan orang lain atau dengan erti kata dia itu takjub dengan pandangannya sendiri (al-i’jab bira’yih).
9. Memilih kawan di kalangan orang bawahan dengan tujuan tertentu
Tujuan dipilih kawan yang di kalangan orang bawahan adalah supaya dia itu merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Dengan tujuan demikian, dia menganggap bahawa tiada siapa yang dapat menandingi percakapannya dan pandangannya diterima oleh orang lain.
10. Menonjolkan diri secara berlebihan.
Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Ini kerana dia berbangga dan takhub dengan taklifan yang pernah disandangnya. Jika dia menjadi orang no.2 sekalipun, penampilannya akan melebihi ketuanya dan orang-orang yang lain. Sudah pastinya orang lain akan menganggap bahawa mereka memiliki individu yang cukup berpotensi untuk menggantikan jawatan ketuanya pada masa yang akan datang.
11. Memperlekehkan orang lain
Sikap memperlekehkan orang lain juga tidak akan wujud pada diri individu yang meraakan dirinya memiliki kekurangan dan kelemahan namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada mereka yanh EGO. Setiap kesilapan sifat kekurangan yang wujud pada orang lain akan diperlekehkan dan cuba diperendah-rendahkan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa dirinya itu lebih baik dan sempurna berbanding dengan lainnya. Orang yang memperendah-rendahkan dan memperlekehkan orang yang lain tergolongan dalam golongan yang fasiq dan seterusnya membawa kepada Dzalimin jika tidak bertaubat. Allah mengecam golongan ini sepertimana di dalam firmanNya :
“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat : 11)
12. Suka menyampuk perbualan orang lain
Ketika pihak lain memberikan pandangan, amat mudah bagi orang yang EGO itu untuk mencelah dan menyampuk mengikut kehendaknya dengan membelakangkan adab-adab dalam bermesyuarat. Tanpa rasa bertanggunggjawab dan rasa menghormati pandangan pihak lain, dia mudah untuk memintas mana-mana percakapan yang dia rasa tidak bersetuju dengannya seterusnya menyebabkan pandangannya itu mendominasi perbincangan tersebut dan timbul rasa kurang senang dari pihak lain.
13. Berburuk sangka terhadap orang lain
Sikap buruk sangka merupakan dosa yang amat besar dan kerananya boleh membawa kepada tajasus (mencari-cari kesalahan) dan ghibah (umpatan). Hal ini Allah SWT telah nyatakan di dalam surah al-Hujurat akan plot kepada buruk sangka tersebut. Firman Allah SWT :
“ Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat : 12)
Demikianlah bahayanya berburuk sangka kepada orang lain. Perkara sedemikian tidak disedari oleh golongan yang EGO yang lebih suka berburuk sangka apatah lagi jika kepada seseorang itu tidak dapat memenuhi tuntutannya seperti tidak dapat hadir ke program yang tertentu disebabkan masyaqqah yang lain. Sebarang alasan yang kukuh tidak dapat diterimanya dan dia lebih memilih untuk berburuk sangka kepada individu tersebut. Bahkan dia lebih suka untuk mendengar sesuatu berita itu daripada pihak lain berbanding mendengar daripada empunya badan tersebut. Allah menempelak golongan ini. FirmanNya :
“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat : 6)
14. Suka meninggikan suara ketika bercakap
“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.” (Surah al-Hujurat : 2)
Mengikut qawaid al-Usuliyyin, “ al-‘ibrah bi’umum al-lafdz la bikhusu al-sabab ” menunjukkan bahawa sesuatu perintah itu adalah bersifat umum walaupun ianya seolah-olah menunjukkan sebab yang khusus. Demikianlah juga dengan firman Allah di atas. Laranga meninggikan suara bukanlah semata-mata dikhususkan kepada Rasulullah SAW tetapi ianya mengajar kita sebagai umatnya akan adab dan akhlak ketika berbicara dengan seseorang apatah lagi jika seseorang itu memiliki kedudukan yang tertentu seperti Rasulullah SAW.
Orang yang EGO akan apabila membicarakan sesuatu perkara, maka dia akan berusaha untuk meninggikan suaranya melebihi kadar yang sepatutnya dan dengan demikian seolah-olah tiada siapa yang berani mencabarnya. Nada percakapannya akan menjadi semakin tinggi apabila dia melihat pihak lain mendengar dengan khusyuk dan menghayati percakapannya dan apatah lagi jika sampai kepada point utama percakapannya itu. Ini juga boleh dikategorikan sebagai ‘naik syaikh’ dalam berbicara. Sikap sedemikian merupakan sikap takabbur dan jijik di sisi Islam dan sama-sama kita perlu ingatkan bahawa tidak akan masuk syurga bagi mereka yang mempunyai sebesar zarrah sifat takabbur. Waiyyazubillah min dzalik..
* Muhasabah bersama..
CREDIT TO : HAIDAR AL KARAR
LIKE MEANS LOVE. SEND MEANS CARE. DONATE, THANKS! :)
Jom Tengok Entry Lain : muhasabah
6 Comments
6 titisan embun di sini:
-
-
waah! bes entry nih.. haha
- Sunday, March 13, 2011
- iem said... [KLIK UNTUK BALAS]
-
manusia mmg penuh dgn ego....
kalau nk ego pun berpada2 la kena pada tmptnya - Sunday, March 13, 2011
- sugar2 kapas strawberry said... [KLIK UNTUK BALAS]
-
kdg2 boleh sakit hati dgn org ego ni
- Sunday, March 13, 2011
- ♥nyeto89♥ said... [KLIK UNTUK BALAS]
-
@yasuke yinzuma
apa makna 'HAHA' tu? - Sunday, March 13, 2011
- ♥nyeto89♥ said... [KLIK UNTUK BALAS]
-
@ïêmå å¢klê§
betul tu...tapi yaya sebenarnya pun ada jugak ego..tapi kena kawal la kan..susah sebenarnya nak buang ego ni... - Sunday, March 13, 2011
- ♥nyeto89♥ said... [KLIK UNTUK BALAS]
-
@sugar2 kapas strawberry
betul tu...hanya mampu bersabar jer la... - Sunday, March 13, 2011